Assalamualaikum,
“Abah, Aisyah nak beli hadiah untuk cikgu Aisyah”, ujar anakku yang belajar di Tadika Amal, berumur 5 tahun.
Sebelum itu dia telah memerhati hadiah yang telah dibeli oleh isteriku untuk pertukaran sesama guru di sekolah nanti.
Di sekolah beliau, setiap guru dikehendaki membeli apa-apa hadiah bernilai dalam RM20, akan dikumpulkan dan dibuat cabutan ala cabutan bertuah. Itulah di antara aktiviti tahunan bagi sambutan Hari Guru di sekolah tempat isteriku mengajar.
Anak sulungku pun telah membeli hadiah untuk guru kelasnya. Ia dibalut cantik, dengan riben merah menambah seri.
Akhirnya kami membeli juga hadiah untuk guru tadika Aisyah, yang diiringi tangisan kerana dia tidak bersetuju untuk membeli hadiah barangan plastik, sebaliknya mahukan barangan kaca!



