Ustaz Asri Rabbani – Pergi Tak Kembali, Al Fatihah


Salam,

Allahyarham Ustaz Asri - Rabbani

Allahyarham Ustaz Asri - Rabbani

Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja setelah rehat tengahari, terdengar deejay radio IKIM memaklumkan tentang pemergian Ustaz Asri Rabbani ke rahmatullah. Sungguh mengejutkan saya!

Setelah mencari info dalam internet, memang sah Allahyarham telah meninggal dunia akibat serangan jantung.

Berikut petikan berita lengkap daripada Detikdaily.net;

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kurang sejam yang lalu akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.Menurut rakannya, Azadan, jenazah arwah Asri akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas ini.

Dimaklumkan, arwah meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Pada dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.

Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan ‘Citarasa Ramadan 1 Malaysia’ bermula 1 Ramadan nanti.

Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan ‘live’ mereka.

Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.

“Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya,” katanya.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Arwah meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39, dan enam orang anak.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu ‘Saksi’ dan ‘Mentari Merah Di U***** Timur’ nyanyian bersama Amy Search.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar – 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti ‘ARAH Dari Mana… Ke Mana…’ (1997), ‘Pergi Tak Kembali’ (1999), ‘Intifada’ (2000), ‘Yalla Beena’ (2004) dan yang terbaru, ‘Nostalgia Nada Murni’.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.

Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.

Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.

Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.

Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan.

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh allahyarham, agar diterima segala usaha murni allahyarham dalam memperjuangkan mesej Islam melalui hiburan nasyid. Juga agar diberi ketabahan dan kesabaran kepada ahli keluarga allahyarham. Amin.

Pergi Tak Kembali

http://liriknasyid.com

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s