Muhasabah Pasca Ramadhan 1430H


Salam,

muhasabah

Ramadhan 1430H telah meninggalkan kita, bersama segala keberkatan dan ganjaran besar yang ditawarkan didalamnya.

Allah menjanjikan taqwa bagi mukmin yang benar-benar menghayati Ramadhan, dengan diisi amalan puasa, tadarus Al-Quran, solat Tarawih, berzikir, bersedekah dan banyak lagi.

Adakah kita rasanya telah mendapat taqwa itu? Adakah kita telah menjadi hamba Allah, bukan hamba Ramadhan?

Bulan Ramadhan di Pekan;

a) Imam tarawih 2 orang hafiz dari Kelantan. Solat fardu pun diimamkan oleh mereka berdua.

b) Saban hari target baca Al-Quran 1 juz, moga dapat khatam sebelum Ramadhan berakhir.

c) Solat tarawih banyak buat kat surau, kadang-kadang kat Masjid Taqwa. Tapi pelik juga kenapa sebelum tarawih ada buat tahlil pulak di masjid tersebut? First time jumpa.

d) Alhamdulillah dapat berpuasa dengan baik, sempurna atau tak terserah kepada Allah.

e) Bila jatuh malam Lailatul Qadar agaknya? Hanya Allah yang tahu. Tapi pagi selepas malam 21, suasana sungguh tenang sekali..mungkinkah?

PASCA RAMADHAN

A) PUASA ENAM HARI BULAN SYAWAL

Bagi meneruskan kesinambungan beribadah di bulan Ramadhan, amalan yang disunatkan kita buat ialah puasa enam hari di bulan Syawal.

Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.

(Muslim)

Huraian
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

(sumber: e-hadith)

B) SOLAT-SOLAT SUNAT

Banyakkan solat-solat sunat, bagi meneruskan kebiasaan bertarawih. Pastikan kita setidak-tidaknya solat witir sebelum tidur.

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian
1. Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu ialah dengan melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalam-amalan an-Nawafil (sunat).
2. Maka untuk melakukan amalan-amalan tersebut memerlukan jihad, kemampuan serta kerelaan hati, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.
3. Antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti:
i. Sembahyang sunat Dhuha- iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdhalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah
ii. Berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih (13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah).
iii. Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama setelah sembahyang wajib. Waktunya bermula selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah 1 rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang Witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.
4. Dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak sedangkan ianya tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini mungkin disebabkan ibadat tersebut dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riya’ dan ujub yang membinasakan pahala.

(sumber: e-hadith)

C) MEMBACA AL-QURAN

Teruskan juga membaca, menghayati makna dan beramal dengan  Al-Quran. Amat besar fadilatnya sebagaimana yang termaktub dalam hadis berikut;

Rasulullah s.a.w  bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

Riwayat Muslim

Huraian

i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.
iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”
iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.
v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

(sumber; e-hadith)

D) SOLAT BERJEMAAH

Yang paling penting, biasakan solat berjemaah di masjid atau surau, kerana ia adalah tuntutan yang besar ke atas setiap lelaki muslim terutamanya.

Penuhnya masjid menggambarkan masyarakat yang dekat dengan Allah, kosongnya masjid menggambarkan longgarnya ikatan hati masyarakat dengan Allah.

Moga dapat istiqomah beramal untuk 11 bulan mendatang, dan dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan 1431H. Amin!

Leave a comment